KUCHING: Program Bermukun Se-Borneo 2024 menjadi platform memperkukuhkan seni budaya bermukun di rantau Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam bagi menyatukan ketiga-tiga negara dalam keunikan budaya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, negara-negara jiran ini berkongsi budaya dan tradisi tersendiri, dengan masyarakat yang berasal daripada rumpun yang sama.
Ujar beliau, tidak ada perbezaan dalam budaya atau persembahan antara Indonesia, Kalimantan khasnya, Sarawak, Sabah, dan Brunei Darussalam.
Beliau berkata denikian ketika berucap pada Malam Segulai Sejalai Bermukun Se-Borneo 2024 di sini, malam tadi.
Katanya, kemajuan teknologi harus digunakan untuk memajukan seni bermukun agar ia kekal relevan di zaman moden.
“Budaya ini akan pupus jika tidak dipertahankan, lebih-lebih lagi dengan kemunculan saluran alternatif yang berperanan besar dalam perubahan sosial,” jelas beliau lagi.
Penganjuran sulung Bermukun Se-Borneo pada 2000 telah disenaraikan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia, yang diwakili Radio Televisyen Malaysia (RTM), Republik Indonesia, diwakili Radio Republik Indonesia (RRI) dan Brunei Darussalam diwakili Radio Televisyen Brunei (RTB).
Program kali ini berlangsung dari 7 hingga 11 November.
Penganjuran ini diharap terus dapat memperkasakan usaha pelestarian seni budaya, selari dengan misi RTM dalam mengembangkan program penyiaran negara.
Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) mewakili Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Nasaruddin Abdul Muttalib, Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kuching Dr. Raden Sigit Witjaksono, Pesuruhjaya Polis Sarawak YDH CP Dato Mancha Ata, Timbalan Konsul Agung Negara Brunei Darussalam mewakili Konsul Agung Negara Brunei Darussalam Thomas Ling.